Simpanan KWSP Menjadi Harta Sepencarian?

Adakah simpanan KWSP terjumlah kepada harta sepencarian kepada orang Islam?

Jawapan : Tidak

Wang di dalam KWSP tidak boleh dituntut sebagai Harta Sepencarian. Wang simpanan KWSP bukanlah perkongsian berakad dalam bentuk harta. Walaupun wujud sumbangan dari segi tenaga, usaha dan sokongan daripada pasangan, tetapi puncanya adalah daripada kerja yang dilakukan oleh satu pihak secara bersendirian.

Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 67 pada 22.2.2002 telah membuat keputusan bahawa wang simpanan KWSP bukanlah bentuk harta sepencarian tetapi harta pusaka yang wajib diagihkan kepada yang berhak menerimanya melalui Faraid.

KWSP telah menerimapakai Keputusan Muzakarah tersebut dan diwartakan sebagai undang-undang di bawah Akta KWSP 1991, Seksyen 51 iaitu simpanan KWSP ahli yang masih hidup adalah hak mutlak pencarum untuk kebajikan mereka pada hari tua yang tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain.

Simpanan KWSP

Kajian Kes

Di dalam kes Abdul Rahman bin Ayob lawan Timah binti Sulaiman: Rayuan Mal No: MYRS.NS 8/2000 Mahkamah telah memutuskan bahawa

” Hasrat penggubal undang-undang juga harus diambil kira semasa mewajibkan caruman seperti ini, sebagai persediaan hari tua pekerja ( pencarum) yang tidak berpencen untuk menyara dirinya dan keluarga….jadi adalah tidak adil jika sebelah pihak lain baik isteri atau suami menuntut wang simpanan KWSP itu sebagai harta sepencarian.Oleh itu mahkamah menerima rayuan bahawa wang simpanan KWSP bukanlah harta sepencarian.Ia terjumlah kepada harta pusaka.

Adakah Fatwa mengikat Mahkamah? Fatwa semata adalah tidak mengikat tetapi sebaik sahaja keputusan Fatwa tersebut diterima dan diwartakan sebagai undang- undang oleh pihak KWSP , maka ianya telah mengikat Mahkamah.

Kes pencarum melantik Penama:
Penama bukanlah menerima sebenar wang KWSP. Tujuan lantikan Penama dibuat adalah untuk memudahkan urusan harta pusaka. Penama adalah pentadbir bagi waris- waris yang masih hidup dan berhak kepada harta si mati.

Adakah simpanan KWSP boleh dihibahkan? Jawapannya adalah boleh sekiranya dipersetujui oleh ahli waris dan akan direkodkan sebagai penerima selepas penolakan ahli waris yang lain atau seperti direkodkan di dalam Perintah Faraid.

Selain itu, wang gratuiti, pampasan dan hadiah kerja juga diterima sebagai harta pusaka tetapi bukan harta sepencarian.

Kredit : Puan Norashikin Bakar

One thought on “Simpanan KWSP Menjadi Harta Sepencarian?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *