Potongan Seluar Jeans Yang Sesuai Untuk Lelaki

Seluar jeans kini bukan hanya dipakai pada acara lasak dan aktiviti outdoor sahaja, malah ia digayakan dalam pelbagai jenis acara, majlis dan urusan. Terdapat sesetengah golongan lelaki mengenakan seluar jeans untuk dilihat dengan gaya yang lebih ringkas, namun ada juga lelaki yang mengenakan jeans supaya kelihatan lebih moden dan bergaya. Terdapat pelbagai potongan seluar jeans di pasaran.

Ada juga yang memilih untuk mengenakan jeans kerana ia dapat menjimatkan masa si pemakai kerana tidak perlu bersusah payah menggosoknya. Hal ini kerana, jeans diperbuat daripada denim, iaitu sejenis fabrik yang tidak mudah renyuk dan tidak memerlukan  penjagaan yang terlalu rapi serta tidak mudah luntur warnanya.

Untuk info anda denim merupakan bahan atau material kain biru tahan lasak, yang berasal daripada daerah pengeksport iaitu daerah Nimes di Perancis, yang digelar ‘serge de Nimes’ atau ‘kain dari Nimes.’

Untuk memudahkan sebutan, pembuat pakaian Amerika memendekkannya menjadi ‘denim.’ Teksturnya menyerupai seperti karpet namun lebih tipis dan halus. Di awal penciptaannya, denim hanya memiliki satu warna iaitu indigo.

Potongan seluar jeans
Kredit : Pexels

Namun, kebiasaanya kain denim dihasilkan menggunakan warna biru gelap dengan tujuan untuk mengelakkan kesan kotoran kelihatan akibat kerja-kerja berat yang dilakukan. Tetapi, seiring dengan perkembangan zaman, kain denim telah diciptakan dengan kepelbagaian warna kain seperti pink, hijau dan biru terang.

Maka jelas di sini perbezaan antara denim dan jeans ini ialah denim merupakan sejenis bahan atau fabrik kain manakala jeans merupakan produk atau nama pakaian yang diperbuat daripada denim.

Kini, perkataan denim digunakan lebih meluas sebagai nama rangkaian busana yang diperbuat dari bahan tersebut seperti jaket denim, gaun denim atau beg tangan denim.

4 Jenis Potongan Seluar Jeans

Terdapat 4  jenis gaya potongan seluar jeans lelaki yang menarik dan bergaya yang boleh anda cuba.

Straight Jeans

Anda menginginkan penampilan yang sederhana dan bergaya walaupun memakai seluar jeans? Straight jeans adalah jawapannya! Dengan  potongan seluar yang ringkas namun bergaya, ianya menjadi pilihan bagi setiap lelaki. Straight Jeans mempunyai potongan yang menegak dan lurus dari aras pinggang sehingga aras bawah, iaitu di bahagian buku lali si pemakai.

Potongan seluar jenis ini tidak terlalu ketat malah potongan ini sesuai untuk anda di luar sana yang menginginkan sesuatu yang ringkas dan classy. Tidak dapat disangkal lagi bahawa terdapat kaum lelaki yang gemar memakai potongan seperti ini kerana ia memudahkan lagi pergerakan mereka untuk melakukan aktiviti harian.

Ia juga sesuai di padankan dengan memakai baju yang fit dan berlengan tiga suku mahupun berlengan panjang. Potongan straight jeans sesuai dipakai oleh hampir semua lelaki  tanpa mengira jenis saiz kaki si pemakai dan saiz tubuh mereka.

Slim Jeans

Slim jeans antara potongan jeans yang diminati oleh jejaka di luar sana. Potongan slim jeans ini seakan-akan sama seperti potongan jenis skinny namun ia tidaklah menunjukkan bentuk kaki yang terlalu ketat.

Bukaan hujung kaki dalam 9 hingga 20 inci bergantung pada saiz si pemakainya. Jika si pemakai mempunyai kaki yang sedikit besar ia pasti menampakkan bentuk kaki yang lebih cantik.

Potongan slim jeans ini boleh digayakan dengan t-shirt polo, pasti ia tampak lebih kemas walaupun dipakai bersama seluar jeans.

BACA JUGA : MINYAK WANGI PILIHAN LELAKI

Skinny Jeans

Bagi golongan lelaki yang menginginkan fesyen yang moden dan  up to date, potongan seluar jenis skinny paling bersesuaian untuk mereka.  Skinny Jeans merupakan potongan seluar yang paling digemari dan dijadikan pilihan di hati para lelaki pada masa kini yang agak berani untuk bergaya.

Jenis potongan jeans ini akan memberikan ilusi lebih tirus kepada si pemakai yang menggayakannya. Saiznya yang lebih kecil bermula dari bahagian peha hingga kaki, menampakkan bentuk kaki si pemakai. Namun, untuk kelihatan tirus  ia bergantung juga kepada saiz kaki si pemakai.

Kenapa ianya menjadi pilihan lelaki yang mempunyai personaliti yang agak dramatik dan berani? Kerana potongan jeans ini agak ketat sehingga menampakkan sepenuhnya bentuk kaki si pemakai.

Potongan jeans ini selalunya dipilih untuk digayakan ketika bersiar-siar dan bersantai dan dipadankan bersama baju T-shirt.

Boot Cut Jeans

Bagi kaum lelaki yang gemar memakai seluar jeans, potongan boot cut bukanlah suatu yang asing buat mereka. Potongan boot cut jeans ini memiliki potongan yang rata di bahagian paha manakala di bahagian hujung kaki yang melebar.

Potongan yang sedikit lebar ini menampakkan si pemakai kelihatan kurus dan tinggi. Potongan boot cut ini sesuai dipakai oleh semua jenis saiz badan terutamanya yang mempunyai pinggang yang sedikit besar bagi menampakkan tubuh sedikit ramping.

Bagi golongan lelaki yang memakai potongan seluar ini, ia dapat dipadankan bersama boots kerana ia akan kelihatan sangat bersesuaian sekali kepada si pemakai. Potongan seluar jenis ini paling digemari oleh hampir semua jenis gaya personaliti generasi muda pada masa kini.

Please follow and like us:

3 thoughts on “Potongan Seluar Jeans Yang Sesuai Untuk Lelaki

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *