Nasi Lemak Daun Pisang Tradisi Semakin Dilupakan

Sejarah awal wujudnya nasi lemak dikatakan bermula ketika masyarakat Melayu mula menetap di pinggir pantai. Dengan memaksimumkan penggunaan bahan-bahan yang mudah didapati di kawasan tempat tinggal mereka seperti santan daripada buah kelapa yang dipetik dari pokok, kangkung yang banyak tumbuh meliar, dan ikan yang ditangkap di laut, maka terciptalah nasi lemak.

Dari segi penggunaan daun pisang yang digunakan sebagai bungkusan pula, dipercayai daun pisang dijadikan sebagai bungkusan makanan bagi memudahkan para petani untuk membawa bekal ketika bekerja di bendang.

Walaupun kini masyarakat Malaysia sudah terbiasa dengan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik (dan bahan-bahan lain juga), daun pisang masih tetap menjadi bungkusan pilihan seperti pada awal kewujudan hidangan popular ini. Selain daripada berfungsi sebagai pembungkus, daun pisang juga sebenarnya membuatkan aroma hidangan kegemaran nasional ini menjadi lebih wangi.

Pada era 70-an, nasi lemak daun pisang mula dijual pada harga serendah 30 sen sebungkus. Bungkusan yang telah siap juga biasa dijual dari rumah ke rumah oleh peniaga kecil-kecilan dan pada waktu itu, peniaga-peniaga yang mengusung bakul.

Nasi lemak daun pisang

Memori Nasi Lemak Daun Pisang

Nasi lemak daun pisang juga sumber rezeki bagi pelajar sekolah di tahun 80-an dan awal 90-an. Ada yang datang ke sekolah sambil menjual nasi lemak kepada rakan-rakan yang lain. Nasi lemak ini ada yang disediakan sendiri oleh keluarga dan ada juga yang ambil dari peniaga nasi lemak. Kiranya ambil komisen.

Cikgu sekolah pada masa itu pun tak melarang pelajar menjual nasi lemak. Cikgu pun tahu kebanyakan yang menjual ini dari golongan yang susah. Namun ada juga isu apabila pihak kantin tidak suka nasi lemak dijual oleh pelajar.

Maklumla pelajar jual murah. Pada masa itu sebungkus baru 30 sen dan kantin jual 50 sen. Namun sekarang jarang dengar pelajar menjual nasi lemak di sekolah.

Apabila berbicara tentang nasi lemak daun pisang di sekolah siapa boleh lupa apabila waktu rehat ramai-ramai makan ditepi laluan pejalan kaki. Makan tepi longkang pun berselera.

Kini, Malaysia semakin moden. Masyarakat di Malaysia kebanyakannya penduduk-penduduk bandar yang sofistikated dan sentiasa menantikan pembaharuan. Oleh itu, wujudlah pelbagai gimik dan gaya persembahan baru bagi kebanyakan hidangan klasik di Malaysia termasuklah nasi lemak. Nasib si nasi lemak pada zaman sekarang dijadikan sebagai bahan publisiti untuk menarik perhatian masyarakat daripada fokus pada rasa dan kualiti makanan itu sendiri.

Pelbagai cara nasi lemak dihidangkan. Seolah-olah tradisi nasi lemak daun pisang telah dilupakan. Pelbagai bentuk nasi lemak dihidangkan. Ada yang kadang-kadang macam tak masuk di akal. Kek nasi lemak, burger nasi lemak dan macam-macam lagi. Paling tak boleh nak hadam, nasi lemak keju. Hilang identiti makanan kebanggan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *