Kebocoran Antara Tingkat, Siapa Perlu Bertanggungjawab

Mesti ramai antara kita yang duduk di rumah strata kan? Masalah yang biasa kita hadap bila duduk rumah bertingkat ni bila ada kebocoran antara tingkat.

Siapa yang perlu bertanggungjawab kalau ada kebocoran? Pihak pengurusan atau pemilik rumah atas?

Kebocoran Antara Tingkat

Pemilik atau Pihak Pengurusan Yang Perlu Bertanggungjawab Jika Kebocoran Antara Tingkat

Contoh situasi:

Abu tinggal di sebuah apartment di KL. Suatu hari, dia perasan banyak air menitik daripada siling bilik air rumah sampaikan keadaan bilik air tersebut sangat teruk dan baunya yang meloyakan.

Abu tanya pemilik rumah atas, Pakcik Jalil pasal ni. Pakcik Jalil cakap memang tandas rumah dia dah lama rosak. Abu bagi tempoh 3 hari kepada Pakcik Jalil bagi baiki kerosakan di bilik air beliau tapi Pakcik Jalil tetap tidak berbuat apa-apa.

Apa Abu boleh lakukan?

Kebocoran Antara Tingkat : Ini Tindakan Yang Perlu Dilakukan

Kebocoran Antara Tingkat

Tindakan pertama yang Abu perlu lakukan adalah memberikan notis kepada pihak pengurusan di apartment selaras dengan Peraturan 56 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.

Selepas beri notis, apa sepatutnya tindakan yang perlu diambil oleh pihak pengurusan apartment?

Setelah menerima notis seperti di Peraturan 56 tersebut, pihak pengurusan apartment haruslah menjalankan pemeriksaan dalam masa tujuh (7) hari ke atas unit milik Pakcik Jalil bagi menentukan punca kebocoran antara tingkat itu dan pihak yang bertanggungjawab untuk membaiki kecacatan yang menyebabkan kebocoran itu.

Perkara ini telah dinyatakan di Peraturan 57 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.

Kemudian, dalam masa 5 hari dari tarikh pemeriksaan, pihak pengurusan apartment haruslah mengeluarkan satu perakuan pemeriksaan dalam Borang 28 untuk menyatakan sebab kebocoran antara tingkat dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kecacatan yang menyebabkan kebocoran tersebut.

Selepas pemeriksaan dibuat di unit milik Pakcik Jalil, pihak pengurusan apartment pun keluarkan Borang 28 kepada Pakcik Jalil dan meminta beliau untuk memperbaiki kerosakan di bilik air beliau yang menjadi punca kebocoran antara tingkat ke rumah Abu di tingkat bawah.

Borang 28 tersebut sudah diserahkan hampir 2 minggu kepada Pakcik Jalil namun Pakcik Jalil masih tidak memperbaiki kerosakan di bilik air rumah beliau dan telah menyatakan kepada Abu bahawa beliau memang tiada duit untuk membaiki bilik airnya.

Apa tindakan seterusnya yang boleh diambil oleh Abu?

Dalam situasi ini, Abu boleh meminta pihak pengurusan untuk masuk ke unit milik Pakcik Jalil dan membaiki kerosakan di bilik air tersebut.

Kenapa pihak pengurusan pula yang perlu baiki sedangkan kerosakan berlaku di unit pemilik dan bukan harta bersama?

Tanggungjawab untuk membaiki kerosakan di unit milik Pakcik Jalil jatuh kepada pihak pengurusan apartment berdasarkan peraturan 61 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.

Peraturan 61 menyatakan bahawa tanggungjawab untuk membaiki kerosakan antara tingkat jatuh kepada pihak pengurusan. Namun, pihak pengurusan boleh menuntut kembali segala kos yang telah dikeluarkan untuk pembaikian tersebut dari pemilik unit yang menjadi punca kerosakan.

Selepas dimaklumkan sedemikian oleh Abu, maka pihak pengurusan apartment pun dengan segera melakukan kerja-kerja pembaikian di unit milik Pakcik Jalil di mana kos pembaikian sebanyak RM 3000 tersebut ditanggung oleh pihak pengurusan terlebih dahulu.

Pihak pengurusan boleh menuntut kembali kos pembaikian tersebut daripada Pakcik Jalil.

Jika Tiada Yang Mahu Bertanggungjawab?

Jika Pakcik Jalil dan pihak pengurusan enggan bertanggungjawab membaiki kerosakan, Abu sebagai pemilik yang terkesan dengan kerosakan tersebut berhak untuk saman Pakcik Jalil dan pihak pengurusan di mahkamah.

Secara alternatifnya, Abu boleh juga membuat aduan mengenai kebocoran antara tingkat ke Pesuruhjaya Bangunan (Commisioner of Buildings).

Perkongsian ini dipetik dari ciapan Twitter Tuan Nas Rahman

Tuan Nas Rahman merupakan seorang peguam di Messrs Nas Rahman & Co.

Korang juga boleh baca perkongsian tentang Kebocoran Antara Tingkat di link ini.

3 thoughts on “Kebocoran Antara Tingkat, Siapa Perlu Bertanggungjawab

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge