JPA Jawab Gesaan Kenaikan Gaji Penjawat Awam Oleh CUEPACS

Baru-baru ini terdapat laporan media mengenai gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya Kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen
dibubarkan.

Pada dasarnya Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA ) telah melaksanakan beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenalkan pada tahun 2002, yang melibatkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji.

Sebagai contoh pada tahun 2016, faedah pemindahan gaji bersamaan 1 Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) diberikan kepada penjawat awam.

gesaan kenaikan gaji

Selain itu, hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak yang berkepentingan, dasar-dasar berkaitan kebajikan penjawat awam termasuklah kemudahan bekerja dari rumah (BDR), waktu bekerja yang fleksibel (Waktu Bekerja Fleksi), penambahbaikan kemudahan cuti (contoh Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin Atau Memerlukan Pengasingan) dan elaun turut dipanjangkan kepada penjawat awam.

JPA Prihatin Kebajikan Penjawat Awam

Pada masa yang sama, JPA sentiasa prihatin dan terbuka dengan pandangan semua pihak yang berkepentingan berkaitan kebajikan penjawat awam melalui platform sedia ada seperti Majlis Bersama Kebangsaan (MBK), Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan sesi konsultasi secara berterusan dengan agensi-agensi Kerajaan dan kesatuan-kesatuan pekerja secara langsung dan tidak langsung.

Penambahbaikan berterusan berhubung dengan kebajikan penjawat awam yang merangkumi semakan saraan (gaji, elaun dan kemudahan) serta laluan kerjaya juga sedang dibuat secara holistik dengan mengambil kira kesesuaian dan situasi ekonomi serta kedudukan kewangan negara.

JPA komited dalam memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terpelihara dan ditambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan aspirasi keterangkuman Keluarga Malaysia.

One thought on “JPA Jawab Gesaan Kenaikan Gaji Penjawat Awam Oleh CUEPACS

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge