Jenis Seluar Melayu Yang Jarang Kita Ambil Tahu

Mungkin generasi sekarang kurang mengenakan seluar Melayu dalam kehidupan seharian. Sebenarnya ramai juga yang kurang tahu seluar Melayu ni ada pelbagai jenis.

Abam ada baca satu perkongsian di Twitter Tuan Mohammad Faeez Harith tentang jenis-jenis seluar Melayu ni.

Jom kita baca perkongsian beliau.

Jenis seluar Melayu
Kredit gambar : Twitter

Jenis-Jenis Seluar Melayu

Perasan tak, kalau lihat gambar-gambar lama,kebanyakan seluar yang dipakai orang-orang Melayu kebanyakannya besar dan lebar? Ada berberapa jenis seluar Melayu sebenarnya.

Seluar Sampak

Ia sejenis seluar pendek yang potongannya sampai ke paras peha sahaja,dipakai di sebelah dalam sebagaimana seluar ‘boxer’ yang dipakai pada masa kini.Ia dipakai dengan tujuan menyembunyikan bentuk kemaluan dan punggung agar tidak terlihat.

Ungakapan berkenaan Seluar Sampak:

” Seluar pendek seluar sampak,

Labuh terletak di atas lutut,

Tidak molek dilandang orang,

Tempat terpakai dalam rimba,

Kena dibuat basahan mandi,

Lebarnya tidak membuka aib,

Sempit tidak membentuk bongkol”

Seluar Pesak Gunting Cina

Ia sejenis seluar yang dijahit dengan berpesak,lebar kakinya dan mempunyai bahagian atas yang disebut sebagai ‘tongkah’.Ia dipakai dengan cara diikat dengan tali pengikat yang dipanggil sebagai ‘tali kencing’

Seluar Pesak Gunting Cina

Ia dipanggil sebagai seluar gunting Cina kerana potongannya lurus seperti seluar pedagang-pedagang Cina yang datang ke tanah Melayu.Labuh Seluar Gunting Cina berada antara paras betis atau terkadang menyentuh buku lali.

Seluar Pesak Gunting Acheh

Ia juga mempunyai Tongkah serta Tali Kencing,tetapi pesak pada bahagian cawat tersebut dilabuhkan berbanding Seluar Gunting Cina,menjadikan rupanya sedikit menyerong, sedangkan Seluar Gunting Cina potongannya lurus.

Seluar Pesak Gunting Acheh

Mengapa tali pengikat seluar pesak ini dinamakan sebagai ‘Tali Kencing?’ Ia disebabkan fungsinya untuk memegang seluar ini ketika membuang air kecil tanpa perlu membuka seluar.

Untuk video cara memakai seluar Melayu ini boleh klik link Twitter

Seluar Sempit

Ia sejenis seluar dengan potongan kaki yang dikecilkan dan tidak begitu labuh, kebiasaannya separas keting sahaja.Ia merupakan pakaian khas bagi orang-orang yang berjawatan tertentu,dan dikatakan merupakan potongan seluar kesukaan Laksamana Hang Tuah.

Ungkapan berkenaan Seluar Sempit:

“Seluar sempit sepalut nangka,

Labuh menjejak-jejak keting,

Sempit disorong sempit disentak,

Tidak berliang angin lalu,

Kaki bersulam benang emas,

Tabur-bertabur bunga telepuk,

Elok dipakai berpatut-patut”

Seluar Kabul

Seluar Kabul

Ia merupakan Seluar Pesak Gunting Cina yang diubahsuai dan dikecilkan bahagian kakinya.Dinamakan ‘Kabul’ kerana potongan ini telah dikabulkan atau diperkenankan oleh Sultan untuk dipakai,dan bukannya seluar orang yang berasal Kabul (Afghanistan).

Ia dikatakan diperkanalkan di zaman Almarhum Sultan Abu Bakar Johor,berdasarkan catatan Mejar Mohd Said Sulaiman dalam ‘Pakai Patut Melayu’ sebagai seluar yang dipadankan dengan Baju Kurung Teluk Belanga.

Seluar Pantalon

Penghujung abad ke 19, seluar pantalon(pantaloon) yang biasa dipakai oleh orang-orang Barat diadaptasi oleh orang-orang Melayu.Ia berkancing,dengan potongan kaki yang lebih sempit,tanpa pesak serta mempunyai zip di bahagian hadapan.

Seluar Pantalon inilah yang menjadi seluar yang biasa dipasangkan dengan Baju Melayu potongan moden pada hari ini.

Demikianlah secara ringkas tentang jenis-jenis Seluar Melayu,namun masih ada lagi jenis-jenis lain yang tidak dapat disenaraikan kerana kekurangan sumber untuk saringan maklumat.

Tuan Mohammad Faeez Harith telah mengambil beberapa rujukan berkaitan Seluar Melayu ini.

1) Ungkapan Tradisional Melayu-Riau, Tenas Effendy, DBP.

2)Busana Melayu, Zubaidah Shawal, Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia.

3)Pakai Patut Melayu,Mejar Mohd Said Sulaiman, Penerbit UKM.

4)Pakaian Cara Melayu,Siti Zainon Ismail, Penerbit UKM.

Tuan Mohammad Faeez Harith – Peminat,Pengkaji,Penggiat Seni Warisan Alam Melayu.

One thought on “Jenis Seluar Melayu Yang Jarang Kita Ambil Tahu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *