Hanya Darurat Politik Bukan Darurat Keselamatan

Mesyuarat Khas Kabinet yang mesyuarat hari ini dikatakan akan mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat dan ‘Darurat Politik‘ kepada Yang Di Pertuan Agong. Ini adalah bagi mengatasi ketidakstabilan politik dan mengelak lebih banyak konflik dalam sidang Parlimen akan datang.

Kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan sentiasa menjadi bahan pertaruhan ahli politik lain kerana hanya mempunyai 113 sokongan ahli Dewan Rakyat.

Kabinet dikatakan menyaran supaya Muhyiddin mempersembahkan cadangan ini untuk pertimbangan Yang Di-Pertuan Agong.

Darurat Politik

Berdasarkan keadaan pandemik Covid-19 yang menular sekarang, kabinet dikatakan turut berbincang mengenai kemungkinan Tuanku mempertimbangkan cadangan menggantung Parlimen dan menjalankan ‘darurat pentadbiran’ selama 6 bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.

Mesyuarat khas kabinet hari ini dikatakan bagi mendapat maklum balas mengenai kemungkinan darurat pentadbiran turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Kehadiran beliau menguatkan lagi andaian Tuanku Agong akan mempertimbangkan darurat sebagai satu langkah sementara menstabilkan politik negara.

Jika ini berlaku Tuanku Agong akan mengambil alih pentadbiran negara dengan nasihat kabinet darurat.Ia boleh jadi kabinet sedia ada atau kabinet baharu.

Pengisytiharan darurat ini membolehkan kerajaan melakukan perbelanjaan kecemasan tanpa perlu kelulusan Parlimen.

Kerajaan sedia ada dikatakan percaya Belanjawan 2021 yang bakal dibentang November ini tidak akan lulus akibat kekurangan sokongan majoriti.

Dalam masa yang sama darurat politik ini tidak membabitkan pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia seperti darurat keselamatan.

Pengisytiharan Darurat Politik Mampu Serlah Kuasa Milik Agong

Kuasa Milik Agong

Jika Perdana Menteri tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan atas permintaannya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memperkenankan pembubaran Parlimen, maka Seri Paduka boleh mengisytiharkan darurat untuk menggantung Parlimen kerana wujud ancaman besar kepada negara termasuk penularan wabak COVID-19.

YDPA boleh mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika ancaman besar kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya wujud.

Professor Madya di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

Selain itu, katanya, ia juga boleh diisytihar mengikut Perkara 150(2) jika ancaman besar itu belum berlaku tetapi Seri Paduka Baginda berpuas hati akan bahaya ancaman besar itu.

Sekiranya darurat diisytihar, maka akan wujud Jemaah Menteri Interim di bawah Perkara 43(2) dalam Perlembagaan Persekutuan – Prof Wan Ahmad Fauzi.

Beliau juga menyatakan dalam keadaan Parlimen tidak boleh bersidang akibat keadaan darurat, YDPA berkuasa untuk membuat ordinan bagi meluluskan perbelanjaan negara jika wujud keperluan segera dan mustahak.

Semasa tempoh darurat juga, katanya lagi, undang-undang boleh digubal tanpa mematuhi peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan, yang dinamakan ordinan oleh Parlimen atau YDPA untuk menangani ancaman terhadap keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam negara.

Sekiranya ini berlaku, kuasa YDPA lebih terserlah kerana Parlimen telah dibubarkan. Baginda perlu membuat ordinan untuk meneruskan pemerintahan negara secara adil dan aman dalam negara,

Prof Wan Ahmad Fauzi berkata, selaras dengan prinsip syura yang mendasari pemerintahan tradisional Tanah Melayu, YDPA masih perlu berunding atau mendapatkan nasihat Jemaah Menteri Interim.

Bahkan, Seri Paduka boleh berunding dengan Majlis Raja-Raja juga lain-lain badan berwibawa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat sebarang Ordinan Darurat.

Sejarah Darurat di Malaysia

Dalam sejarah Malaysia, darurat pernah diisytiharkan semasa pembubaran Parlimen, iaitu dua hari selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969.

Parlimen hanya mula bersidang pada 20 Februari 1971 walaupun keputusan PRU (Pilihan Raya Umum) telah diketahui pada 10 Mei 1969 di Semenanjung Tanah Melayu, manakala pada 4 Julai 1969 proses PRU selesai di Sabah dan Sarawak.

Proklamasi Darurat 1969 hanya dibatalkan pada Disember 2011 selepas usul pembatalannya dimulakan di Dewan Rakyat pada 24 November 2011.

Susulan itu, Prof Wan Ahmad Fauzi berkata bulan Jun 2012 semua ordinan yang dimasyhurkan terhenti berkuat kuasa seperti diperuntukkan oleh Perkara 150(7).

Ringkasnya dalam tempoh dari 15 Mei 1969 sehingga Disember 2012, Malaysia berada dalam darurat. Namun begitu, Parlimen bersidang dan PRU dilaksanakan.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *