Gulai Kawah Batang Pisang Hidangan Orang Kedah

Gulai kawah batang pisang adalah antara masakan kampung yang masih popular terutama di majlis kenduri kahwin di negeri Jelapang Padi, Kedah. Gulai yang dicampur dengan daging ini, pasti menjadi rebutan dan lazimnya akan habis dahulu berbanding lauk-pauk lain semasa kenduri.

Masakan ini jarang ditemui di restoran dan kedai makan walaupun ia mendapat sambutan hangat daripada orang ramai. Gulai batang pisang, gulai kawah, gulai nangka, gulai ikan talang masin, gulai rebung dan kerabu pucuk paku adalah antara masakan kampung Kedah yang biasanya hanya boleh ditemui pada majlis kenduri kahwin.

Gulai Kawah Batang Pisang

Keenakan Gulai Kawah Batang Pisang

Kalangan generasi sekarang tidak pernah menikmati keenakan gulai kawah batang pisang. Malah, tidak mustahil kalau dihidangkan, mungkin ada yang berasa pelik atau tidak menyangka rupa-rupanya batang pisang juga boleh dimakan.

Lazimnya, pokok pisang hutan yang tumbuh liar di kawasan berbukit menjadi pilihan untuk digunakan dalam masakan ini. Pokok pisang hutan tidak ditanam kerana buahnya tidak boleh dimakan kerana mempunyai banyak biji.

Namun, batangnya lebih enak untuk dijadikan hidangan masakan. Hanya pokok pisang hutan yang masih muda iaitu belum berbuah diambil umbutnya iaitu bahagian tengah batang pisang untuk dimasak.

Pokok pisang jenis ini juga menjadi pilihan kerana jumlahnya yang banyak dan mudah diperoleh. Pokok pisang hutan ini tidak payah ditanam, banyak mana mahu ambil pun boleh dan ia memang cukup untuk berapa ramai tetamu yang diundang.

Selepas pokok pisang ditebang, batang pisang itu perlu dikoyak kulitnya untuk mengambil umbut (batang di dalam) yang masih lembut. Walaupun terpaksa meredah belukar, hutan dan mengharungi anak sungai, semangat gotong-royong yang masih diamalkan penduduk membuatkan tugasan mengambil batang pisang hutan itu agak mudah dan menyeronokkan.

Ketika meredah rimba, mereka turut mendapatkan hasil hutan lain seperti pucuk paku, rebung dan pokok tepus yang umbutnya cukup enak dibuat ulam.

Umbut batang pisang dimasukkan ke dalam kawah apabila daging hampir separuh masak. Jika batang pisang dimasukkan lebih awal, ia akan menjadi terlalu lembut.

gulai kawah
Sumber : Twitter

Di harap generasi akan datang mengekalkan resipi gulai kawah batang pisang ini supaya makanan tradisi ini tidak hilang ditelan zaman.

2 thoughts on “Gulai Kawah Batang Pisang Hidangan Orang Kedah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *